Waspada iklan jual vaksin Covid-19 dalam talian - Utusan Malaysia

Waspada iklan jual vaksin Covid-19 dalam talian

ZAINUDDIN YAACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangan sesekali terpedaya tawaran iklan yang menjual vaksin Covid-19.

Itu peringatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penularan maklumat mengenai penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob memberitahu, sehingga kini sebanyak dua kes berkaitan penipuan pembelian vaksin itu dilaporkan membabitkan kerugian RM285,499.95.

Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Meskipun penyebaran maklumat itu dinafikan syarikat pengendali perkhidmatan jualan namun tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berhubung penjualan vaksin tersebut masa akan datang.

“Sebagaimana yang telah diumumkan pihak kerajaan, pemberian vaksin Covid-19 akan dilaksanakan secara percuma kepada rakyat negara ini. Sebarang tawaran penjualan vaksin ini oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainuddin berkata, pihak JSJK sentiasa komited melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin ini.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa waspada dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

“Masyarakat diminta sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan-arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat diperoleh berkaitan program vaksinasi ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya