Waris gesa tutup sekolah jika guru, murid positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Waris gesa tutup sekolah jika guru, murid positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Ibu bapa dan waris pelajar sekolah di daerah Barat Daya di sini menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera termasuk melanjutkan cuti pertengahan penggal biarpun terdapat kurang tiga laporan kes Covid-19 di sekolah.

Gesaan itu dibuat selepas mereka dimaklumkan terdapat laporan positif Covid-19 membabitkan guru dan murid di sebuah sekolah rendah di kawasan Bayan Lepas dan Teluk Kumbar di sini.

Difahamkan, seramai tiga guru di sekolah kawasan berkenaan dilaporkan positif wabak tersebut selepas membuat ujian saringan minggu lalu.

Ibu yang mahu dikenali sebagai Lina Ahmad, 40, berkata, biarpun ketika ini pelajar-pelajar sedang menikmati cuti pertengahan penggal sehingga 4 April ini, namun, mereka perlu diberi perhatian serius bagi mengekang penularan pandemik itu.

Menurutnya, bilangan minimum pelajar dan guru yang positif wabak itu sepatutnya dititikberatkan pihak sekolah dengan mengambil pendekatan segera menutup semua sesi persekolahan sehingga keadaan kembali pulih.

“Semestinya, para ibu bapa dan waris antara individu yang paling bimbang dengan keadaan anak-anak mereka sebaik sahaja sesi persekolahan bermula minggu depan.

“Jangan ambil mudah walaupun hanya terdapat satu atau dua kes laporan positif Covid-19 di sekolah. Implikasinya akan turut dirasai oleh mereka yang berada dalam kawasan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi waris pelajar yang enggan dikenali memberitahu, pihak berkaitan seharusnya mengambil pendekatan segera dalam membantu mengekang penularan wabak tersebut.

“Jalan yang terbaik adalah lanjutkan penutupan sekolah (cuti pertengahan penggal) sehingga kes tersebut benar-benar pulih atau negatif,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz pula berkata, pihaknya meminta golongan ibu bapa mengehadkan pergerakan anak-anak sepanjang cuti pertengahan penggal ini.

“Saya sedia maklum, pelajar-pelajar yang telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada Ahad lalu telah menerima keputusan ujian Covid masing-masing.

“Ada ibu bapa memaklumkan kepada saya mengenai keputusan anak mereka dan ada yang positif. Saya juga dimaklumkan hari ini juga ada sesi ujian Covid-19 dibuat bagi mengesan penularan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN