GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Myanmar di kedudukan 28.6 batu nautika barat Pulau Kendi, di sini semalam.
Mereka terdiri daripadantiga kru dan seorang tekong berusia antara 20 hingga 40 tahun itu diberkas dalam OP Benteng Laut dan Op Pertiwi 01/2020 oleh anggota Kapal Maritim KM Burau kira-kira pukul 9.20 pagi.
Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, ketika ditahan kesemua warga asing tersebut sedang leka menangkap ikan dan gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Nelayan warga asing tersebut ditahan serta dibawa ke pejabat Maritim Malaysia negeri bagi menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum siasatan lanjut dilakukan.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen, vesel tidak diusahakan sendiri dan menggaji kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
Tambahnya, komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian: 04-2626146. – UTUSAN ONLINE