Warga emas tinggal bawah rumah usang, hidup serba kekurangan - Utusan Malaysia

Warga emas tinggal bawah rumah usang, hidup serba kekurangan

SAPIAH Kaweh tinggal di bawah sebuah rumah usang dalam keadaan serba kekurangan ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah, semalam. -UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang warga emas hidup serba kekurangan di bawah sebuah rumah pusaka serba usang di Kampung Ulu Bendul dekat sini.

Sapiah Keweh, 76, berkata, dia terpaksa tinggal di bahagian bawah rumah pusaka itu kerana tidak berani untuk mendiami bahagian atas rumah itu yang sudah lapuk.

Lebih menyedihkan, dia tinggal di rumah itu sejak 20 tahun lalu bersama seorang anak lelakinya berusia 50 tahun tanpa mempunyai kemudahan tandas yang selesa.

Menambahkan kesukaran, Sapiah kini hanya mampu mengengsot untuk bergerak ke mana-mana kerana mengalami kesakitan di bahagian lutut.

“Lagipun bahagian bawah rumah ini rendah dan sempit, nak berjalan pun memang susah. Saya menumpang di rumah ini bersama anak saya yang hanya bekerja kampung. Saya ada dua lagi orang anak tetapi tidak dapat dihubungi, anak saya seorang ini sahajalah yang membantu saya.

“Rumah pusaka ini kepunyaan arwah kakak saya dan kini waris iaitu anaknya tinggal di Pahang. Saya mempunyai tanah di kawasan berdekatan namun saya tidak mempunyai wang untuk membina rumah. Jika ada pihak yang sudi membantu saya mengalu-alukan,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Dia ditemui Utusan Malaysia selepas menerima bantuan bakul makanan yang diserahkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Ulu Bendul, dekat sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi MPPK Kampung Ulu Bendul, Shahrin Mat Basir berkata, dia dan ahli jawatankuasa sentiasa mengambil berat keadaan Sapiah namun mengakui tiada sebarang bantuan yang diterima untuk membina sebuah rumah untuk Sapiah.

“Dia sudah lama memaklumkan kepada saya tentang rumah berkenaan namun kami tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk membina rumah yang lebih selesa. Memang menyedihkan, rumah yang didiaminya kini agak usang dan tiada bilik air dan tandas.

“Sapiah terpaksa mengengsot ke tali air di belakang rumahnya untuk mengambil air dan mandi. Apa yang kami lihat, anaknya ada membuat satu ruangan kecil untuknya di dalam rumah utk membuang air namun keadaannya agak kotor,” katanya.

Menurutnya, pihak MPKK menyambut baik sekiranya ada mana-mana pihak berhasrat mahu menghulurkan bantuan untuk mendapatkan sebuah rumah untuk Sapiah atau setidak-tidaknya membina tandas untuk kemudahan warga emas itu.

“Jika ada mana-mana pihak yang mahu membantu membina sebuah rumah yang lebih selesa di atas tanah kepunyaan Sapiah juga boleh menghubungi saya dengan segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN