TAMPIN: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak dari rumahnya di Taman Desa Permai Repah, dekat sini sejak Sabtu lalu, ditemukan petang tadi.
Che Som Ibrahim, 69, ditemui oleh seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berdekatan belukar di tepi jalan simpang Desa Permai, Batu 4 Jalan Tampin-Gemas, dekat sini kira-kira pukul 2.45 petang.
Ketika kejadian, pekerja lelaki berkenaan ingin melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, sebaik ditemui, lelaki berkenaan segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa ditemukan dalam kawasan semak belukar terbaring tidak bermaya, namun, dalam keadaan sedarkan diri. Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Tampin oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi penemuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Media sebelum ini melaporkan keluarga Che Som memohon orang ramai membantu dalam usaha pencarian warga emas itu yang hilang dari rumahnya sejak 20 Mac lalu.
Sementara itu, menantu mangsa, Abdul Halem Samsuddin, 31, ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan ibu mentuanya itu telah ditemukan.
“Mak sudah ditemukan… Alhamdulillah,” katanya. -UTUSAN ONLINE