KLANG: Kegagalan warga Afrika melunaskan bil hospital swasta yang terpaksa ditangggungnya kerana melanggar lelaki warga tempatan dengan kenderaaan menyebabkannya dipukul dengan menggunakan topi keledar di hadapan hospital tersebut, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati berlaku satu pergaduhan di antara lelaki tempatan berkenaan dengan warga Afrika tersebut.
Menurutnya, lelaki warga Afrika itu didapati gagal melunaskan bil rawatan hospital bernilai RM1,500 kerana hanya mempunyai wang RM500 sahaja.
“Mangsa yang sudah mendapat rawatan dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu telah memanggil rakannya untuk hadir ke hospital sebelum berlakunya pergaduhan tersebut.
“Oleh demikian, kita telah menahan kedua-dua suspek berusia 25 dan 26 tahun semalam bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 14 saat berkaitan satu insiden mendatangkan kecederaan melibatkan membabitkan lelaki warga tempatan dan warga Afrika.
Rakaman video tersebut telah memaparkan beberapa lelaki sedang berkumpul di hadapan sebuah hospital.
Seorang daripada lelaki tersebut tidak memakai baju kelihatan sedang berkomunikasi dengan seorang lelaki yang memakai baju berwarna hitam sebelum dipukul di kepala dengan menggunakan sebuah topi keledar berwarna merah yang berada di tangan lelaki tersebut.
Tambah Shamsul Amar, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE