PETALING JAYA: Polis mengenal pasti seorang wanita dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga dua motosikal dalam kejadian di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini semalam.
Wanita tersebut melarikan diri dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 12.41 tengah malam itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku apabila pemandu wanita itu menghimpit dan melanggar motosikal jenis Harley-Davidson dan Yamaha Avantis sehingga mengalami kerosakan.
“Kedua-dia penunggang terbabit meminta pemandu wanita itu membuat laporan polis namun dia terus memecut melarikan diri.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya.
Terdahulu, video wanita berkenaan melarikan diri tular dalam media sosial.
Video berdurasi seminit itu menunjukkan wanita berkenaan dalam keadaan tidak sedar dan mengaku memandu dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun ketika diminta untuk membuat laporan polis, wanita terbabit terus memecut laju melarikan diri. – UTUSAN ONLINE