Wakil rakyat perlu beri penerangan kepada rakyat kepentingan vaksin  - Utusan Malaysia

Wakil rakyat perlu beri penerangan kepada rakyat kepentingan vaksin 

JAGDEEP Singh Deo menyerahkan pelitup muka kepada orang awam ketika meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Pulau Tikus, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Wakil-wakil rakyat perlu memainkan peranan dengan memberikan penerangan serta maklumat kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk mereka mendaftar segera sebagai penerima vaksin Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pada masa ini, kebanyakan ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sekali gus boleh memberikan keyakinan kepada rakyat untuk turut mendaftar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di aplikasi MySejahtera. 

“Sebagai wakil rakyat, kita kena tampil ke depan dengan menasihati rakyat serta terangkan kepada mereka mengenai kepentingan untuk kita daftar sebagai penerima vaksin Covid- 19. 

“Ada di antara wakil rakyat juga telah terima vaksin Covid-19 ini dan sedang menunggu untuk mengambil dos kedua, jadi masa ini adalah waktu kita untuk bekerja dengan nasihati rakyat segera mendaftar untuk mengambil vaksin,” katanya selepas melawat pasar awam Pulau Tikus, di sini semalam. 

PICK bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19, empat hari selepas bekalan vaksin pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia. 

Malaysia kini berada dalam fasa pertama PICK yang menyasar untuk memberi vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan. 

Menurut Jagdeep, setakat 9 Mac lalu, sebanyak 4.68 juta pendaftaran telah dilakukan bagi penerimaan vaksin Covid-19 melalui platform MySejahtera merangkumi 226,690 pendaftaran dari Pulau Pinang. 

“Kita sasarkan lebih sejuta rakyat negeri ini diberi vaksin Covid-19 untuk mencapai imuniti kelompok. 

“Imuniti kelompok ini penting bagi memastikan rakyat negeri ini bebas daripada dijangkiti wabak Covid-19,” katanya. 

Dalam pada itu Jagdeep berkata,  setakat 8 Mac terdapat sekitar 17 kluster Covid-19 yang aktif di negeri ini. 

“Pekerja dari sektor perindustrian mempunyai peratusan kes yang tertinggi iaitu 51 peratus disusuli oleh sektor pekerjaan lain serta mereka yang tidak bekerja iaitu 37 peratus, tapak pembinaan (8 peratus) dan banduan di penjara sebanyak 4 peratus,” katanya. 

Tambah beliau, sehingga 9 Mac lalu, sebanyak 195,923 dos vaksin Covid-19 telah diberi di seluruh negara yang mana sebanyak 7,781 dos daripada jumlah tersebut telah diberi di Pulau Pinang.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN