ALOR SETAR: “Naluri seorang ibu, saya lihat wajah anak nampak dia sangat sakit sebelum meninggal kerana bibirnya bertukar biru dan wajahnya yang sangat pucat.”
Itulah luahan Nor Azira Abd Halim, 36, ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Harraz Aryan Mohd. Hafizi, 3, yang ditemui meninggal dunia selepas lebih empat jam ditinggalkan dalam kereta di sebuah tadika di Sungai Petani kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Menurutnya, dia yang sedang bekerja di Jabatan Ukur di Sungai Petani pada mulanya hanya diminta suami ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Tiba di HSAH, saya terkejut melihat anak saya itu di atas katil dan dibalut. Masa itu baru saya sedar anak sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Nor Azira memberitahu, dia sebelum itu dihubungi oleh salah seorang guru di tadika tersebut yang memaklumkan anaknya, Muhammad Harraz Aryan tidak sedarkan diri.
“Awalnya, saya ingat hanya panggilan biasa kerana guru disitu sering hubungi saya jika ada perkembangan berkaitan anak saya namun guru itu bercakap dalam keadaan menangis menyatakan anak saya tidak sedarkan diri.
“Saya kemudian terus menghubungi suami yang bekerja di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani kerana dia lebih dekat dengan tadika berkenaan.
“Bagaimanapun, suami saya meminta saya untuk pergi ke HSAH,” katanya.
Menurutnya lagi, anaknya sudah setahun mengikuti pembelajaran di tadika berkenaan dan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) anaknya akan dijemput kakitangan tadika setiap pagi di rumahnya pada pukul 7.45 pagi.
“Sejak PKP, hanya Selasa dan Rabu anak akan dijemput petugas tadika dan hari lain saya akan menghantarnya ke sana.
“Sebelum saya keluar kerja lepas Subuh, saya melihat anak masih tidur dan kebiasaannya akan disiapkan oleh neneknya.
“Harraz seorang yang sangat ceria dan penyeri rumah kami dengan telatahnya sebagai anak bongsu. Kehilangan sangat saya terasa,” luahnya.
Menurutnya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut prosedur sekiranya berlaku kecuaian atau unsur jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pengetua tadika tersebut yang berumur 49 tahun telah direman selama tiga hari bermula hari ini.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Aliff Abd. Aziz.
Adzli menambah, siasat awal mendapati pengetua terbabit telah mengambil seorang murid lain berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan keretanya dan mangsa diletakkan di tempat duduk belakang.
“Apabila sampai di tadika, seorang guru di situ telah mengambil rakan mangsa manakala pengetua pula meletakkan keretanya di luar pagar tadika dengan enjin dimatikan,” katanya.
Kata Adzli, mangsa ditinggalkan dalam kereta dalam keadaan pintu dan cermin bertutup dari pukul 8 pagi hinggalah tiba waktu pulang pada pukul 12.15 tengahari.
“Mangsa disedari tiada di dalam kelas oleh pengetua terbabit yang hendak menghantarnya pulang dan terkejut apabila seorang guru memaklumkan mangsa tidak hadir ke sekolah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE