Vaksin bukan untuk dibolot ahli politik  - Utusan Malaysia

Vaksin bukan untuk dibolot ahli politik 

SULAIMAN Md. Ali menjadi individu pertama menerima vaksin Pfizer-BioNTech semasa Program Imunisasi Covid-19 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada kehadiran ahli politik, isteri atau anak yang membolot vaksin Covid-19 seperti didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang menjadi individu pertama menerima vaksin Pfizer-BioNTech semasa Program Imunisasi Covid-19 di Seri Negeri di sini, hari ini. 

Sulaiman menerima suntikan itu bersama-sama wakil petugas barisan hadapan (frontliners), Aris Sahat yang berkhidmat sebagai Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pada pukul 10.27 pagi. 

Sulaiman ketika ditemui di pekarangan Seri Negeri selepas suntikan berkata, hanya 60 penerima terdiri daripada frontliners dan wakil rakyat menerima suntikan pada program tersebut. 

“Pada program di Seri Negeri hari ini, hanya 60 penerima yang terlibat, suasana di sini sama sekali berbeza dengan dakwaan-dakwaan pihak tertentu kononnya semua vaksin dibolot oleh ahli-ahli politik. 

“Datanglah sini, tengok ada ke saya bawa isteri dan anak-anak? Kerajaan negeri hanya hantar cadangan nama siapa yang perlu dan layak untuk terima suntikan dan keputusan itu dibuat oleh JKN dan juga Kementerian Kesihatan, bukan kerajaan negeri yang tentukan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu.

Turut menerima suntikan ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah JKN, Datuk Dr. Ismail Ali. 

Secara keseluruhan, seramai 1,097 individu telah disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin  Covid-19 pada hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang memberi keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu, Sulaiman berkata, ia merupakan hak individu dan terserah kepadanya, namun, vaksin yang diambil hari ini adalah untuk membuktikan suntikan tersebut selamat. 

“Tidak sakit pun, proses suntikan itu sangat cepat, vaksin ini bukan sahaja demi kepentingan diri sendiri tetapi kepada keluarga dan rakyat Melaka secara keseluruhannya.

“Saya mengambil dos pertama bagi membuktikan khususnya kepada rakyat negeri ini supaya jangan risau atau takut kerana ia selamat. Tapi ada yang kata nak tengok dahulu saya duduk steady (sihat) atau tidak,” ujarnya.

Terdahulu, di Melaka, seramai 12,870 orang petugas barisan hadapan dijadual menerima suntikan pada fasa pertama, manakala fasa dua dijadualkan pada bulan April hingga Ogos membabitkan 250,000 orang dalam kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga dijadualkan pada September 2021 hingga Februari 2022, disasarkan untuk penduduk di Melaka yang berumur 18 tahun ke atas iaitu warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 400,000 orang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya