Vaksin: 27.7 peratus rakyat Melaka telah daftar - Utusan Malaysia

Vaksin: 27.7 peratus rakyat Melaka telah daftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sehingga Ahad lalu, seramai 194,203 iaitu 27.7 peratus rakyat negeri ini telah menunaikan tanggungjawab mendaftar imunisasi vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Data itu merupakan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan yang mana sebelum ini pada 11 Mac lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengumumkan jumlah yang telah berdaftar adalah seramai 170,743 orang iaitu 24 peratus daripada 701,000 individu yang layak.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha melalui pelbagai kaedah untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar, antaranya dengan mewajibkan peniaga di Melaka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai satu daripada syarat permohonan mendapatkan lesen perniagaan pada masa depan.

Ujarnya, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga telah digerakkan bagi membantu golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang tidak mempunyai akses kepada telefon pintar atau internet.

“Kita menasihatkan yang mana hendak hidupkan lesen perniagaan, dimaklumkan mesti berdaftar. Bukan dia sahaja, tetapi pekerja yang bekerja dengan peniaga itu juga mesti didaftarkan.

“Jadi, ini salah satu kaedah bagaimana mereka boleh membantu pihak kerajaan negeri untuk memastikan rakyat berdaftar segera dengan aplikasi MySejahtera,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata yang masih tidak mendaftar adalah golongan berusia yang mempunyai kesukaran terutamanya melibatkan kurang pemahaman terhadap pendaftaran secara digital.

Suri rumah, T. Saraswathy, 54, mengakui dia masih belum mendaftar ekoran tidak mahir menggunakan telefon pintarnya, apatah lagi untuk memuat turun aplikasi tersebut.

“Saya memang mempunyai telefon pintar, namun ia hanya digunakan untuk mengangkat atau membuat panggilan telefon.

“Saya tidak tahu cara untuk memuat turun aplikasi tersebut di telefon. Saya memang bercadang untuk meminta tolong anak melakukan pendaftaran untuk saya dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Syafie Yaakup, 68, yang merupakan seorang pesara syarikat swasta, memberitahu, dia masih tidak berbuat demikian kerana ingin menunggu perkembangan lanjut mengenai kesan dos tersebut.

“Insya-Allah saya akan mendaftar dalam tempoh terdekat, cuma sekarang ini saya ingin nak tahu lah kesan vaksin ini macam mana, nak tengok perkembangannya melalui mereka yang telah disuntik.

“Terlalu banyak momokan mengenai kesan vaksin ini kepada kesihatan, walaupun ia tidak sahih, namun telah menimbulkan sedikit keraguan. Jadi sebab itulah, saya ingin melihat perkembangan vaksin ini,” katanya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan gaut.

Dalam pada itu, seorang bekas peniaga, Tan Yoke Tee, 73, berkata, dia bernasib baik kerana anak lelakinya telah mendaftarkan namanya sebagai penerima vaksin Covid-19 sejak awal bulan ini.

“Kalau saya sendiri, memang tak reti. Mujur anak bongsu saya mendaftarkan untuk saya dan sekarang saya hanya menunggu panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan sahaja.

“Pada hari ini memang ramai yang telah menggunakan telefon pintar, bagi warga emas seperti saya telefon ini telah diberikan oleh anak tetapi saya tidak tahu menggunakannya sepenuhnya sekadar menjawab panggilan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN