UTM pilih MPP secara atas talian - Utusan Malaysia

UTM pilih MPP secara atas talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah tersendiri apabila bakal mengadakan pilihan raya kampus (PRK) secara atas talian bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2020/2021 pada bulan ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata, proses PRK akan berlangsung sepenuhnya secara atas talian termasuk penamaan calon, kempen, pengundian dan pengumuman keputusan pilihan raya.

Beliau berkata, sistem ‘e-LECTION’ itu diwujudkan bagi melancarkan proses PRK dengan lebih efisien ketika negara masih dilanda penularan pandemik Covid-19.

“Ia juga merupakan langkah terkini universiti dalam mengadaptasi norma baharu di kampus selain memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk kemudahan warga kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengarah UTM Digital, Nik Kamal Izuddin Nik Ibrahim berkata, e-LECTION dibangunkan oleh kira-kira 20 kakitangan jabatan berkenaan.

Katanya, sistem berasaskan ‘web based’ ini mengambil masa selama hanya dua bulan sahaja untuk disiapkan dengan memenuhi setiap keperluan PRK yang digariskan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (CEC).

“Beberapa siri bengkel dilaksanakan secara bersama dengan CEC selaku pengelola PRK bersama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Pejabat Penasihat Undang-undang,” katanya.

Dua sesi dry-run juga diadakan disamping sesi latihan untuk pengguna pada Khamis lalu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN