Usaha pujuk 16,000 Orang Asli di Kelantan terima vaksin - Utusan Malaysia

Usaha pujuk 16,000 Orang Asli di Kelantan terima vaksin

SHAFIE Abas duduk (kanan) bersama penghulu dan Pengerusi JPKKOA Jakoa Negeri Kelantan yang mengikuti Program Taklimat Vaksinasi Covid-19 di Dewan Orang Ramai Jubli Perak, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan hari ini. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi meyakinkan kira-kira 16,000 Orang Asli di negeri ini untuk mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Shafie Abas berkata, antara inisiatif yang diambil adalah meningkatkan pemahaman serta membetulkan persepsi salah masyarakat Orang Asli yang dilaporkan menolak vaksin selepas terpengaruh dengan dakyah negatif.

Jelas beliau, bagi fasa pertama para pemimpin Orang Asli akan diberikan taklimat terlebih dahulu sebelum pihak Jakoa melaksanakan langkah seterusnya iaitu masuk ke kampung-kampung untuk memberi penerangan berkaitan vaksin Covid-19.

“Kita mengharapkan penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) akan menyampaikan apa yang mereka dengar daripada taklimat kepada masyarakat kampung apabila pulang nanti.

“Jika mereka menyampaikan maklumat tepat kepada anak buah masing-masing, maka, dapatlah kita memastikan 16,000 Orang Asli di Kelantan mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Jubli Perak Kuala Betis di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Taklimat Vaksinasi Covid-19 kepada Kepimpinan Penghulu dan Pengerusi JPKKOA Negeri Kelantan yang disampaikan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Betis, Dr. Siti Sarah Salahuddin.

Yang turut hadir, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Sementata itu, Bidi mengakui, sebilangan besar komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman negeri ini menolak suntikan vaksin Covid-19 selepas terpengaruh dengan propaganda negatif menerusi media sosial.

Katanya, terdapat beberapa pihak menyalurkan maklumat salah mengenai vaksin melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook menyebabkan Orang Asli mula ragu-ragu dan seterusnya menolak suntikan vaksin.

“Kami selaku pemimpin Orang Asli akan memperbetulkan perkara terbabit supaya masyarakat Orang Asli memahami kepentingan vaksinasi dan lebih bersikap terbuka dalam perkara ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya