Usaha murni Ismail bersihkan sungai diiktiraf UPSI - Utusan Malaysia

Usaha murni Ismail bersihkan sungai diiktiraf UPSI

MD. Amin Md. Taff (tengah) menyampaikan sijil pengiktirafan Ikon Alumni Anak Kandung Suluh Budiman kepada Ismail Mohamad Zain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUALLIM : Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni mengiktiraf seorang daripada bekas pelajarnya, Ismail Muhamad Zain, 40, sebagai penerima Ikon Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB), semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumninya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pengiktirafan itu sejajar dengan kegiatan Ismail yang dilihat membuka mata banyak pihak atasan menerusi ketulusan hati dan keprihatinannya membantu menjaga alam sekitar di kawasan Sungai Balun sehingga menjadi tular dalam media sosial sekitar pertengahan bulan lepas.

Kata beliau, tindakan Ismail itu juga secara tidak langsung menjadi nilai tambah dalam usaha memartabatkan profesion perguruan yang pada ketika ini dilihat semakin diperlekehkan oleh pihak tertentu.

“Pengiktirafan itu dilihat amat bertepatan kerana apa yang dilakukan oleh Ismail memberi impak kepada masyarakat.

“Diharapkan menerusi pengiktirafan ini, ia dapat memberi inspirasi kepada seluruh warga universiti dan alumni, sekali gus menyemarakkan semangat sambutan seratus tahun UPSI yang berlangsung tahun depan,” katanya semasa menghadiri majlis penyampaian sijil penghargaan di Kampus Sultan Azlan Shah, dekat sinisemalam.

Ismail baru-baru ini menjadi tumpuan ramai gara-gara gelagatnya membersihkan sampah sarap sebagai rutin harian di kawasan sungai yang terletak berhampiran kawasan kediamannya di Slim River, Perak Darul Ridzuan.

Selain mendapat tumpuan media, keprihatinan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak itu juga mendapat perhatian Istana Iskandariah, Kuala Kangsar apabila Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan menzahirkan titah penghargaan kepadanya pada 15 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ismail dalam majlis berkenaan menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana usaha murninya itu diiktiraf pihak universiti.

“Alhamdulillah, langsung tak sangka usaha kecil saya telah mendapat perhatian ramai pihak apatah lagi sampai ke pengetahuan pihak istana dan diiktiraf pula oleh universiti yang menjadi tempat menimba ilmu dahulu.

“Kita semua telah dididik untuk cakna terhadap kepentingan sungai dalam kehidupan seharian, maka dengan menjaga kelestariannya adalah galasan yang perlu sama-sama kita pikul,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya