Undi18: Tindakan PN menyalahkan SPR amat dikesali - Utusan Malaysia

Undi18: Tindakan PN menyalahkan SPR amat dikesali

HOWARD LEE CHUAN HOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pengecut apabila menangguhkan pelaksanaan pendaftaran mengundi automatik dan Undi 18 tahun (Undi18).

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Nasional, Howard Lee Chuan How berkata, amat dikesali kerana PN menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila Undi18 ditangguhkan.

Menurutnya, keengganan kerajaan PN melaksanakan Undi18 adalah atas kehendak politik parti itu sendiri.

“DAP memberi amaran jangan menggadai hak anak muda demi kepentingan politik diri dan parti sendiri. Tindakan ini memperlekehkan pindaan Perlembagaan Undi18 yang mendapat sokongan sebulat suara Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Menurutnya, penangguhan Undi18 juga mengingkari Yang di-Pertuan Agong yang telah memberi perkenan ke atas pindaan tersebut.

Beliau berkata, PN tidak seharusnya membawa fitnah kepada negara berlandaskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Jangan mencabuli hak anak-anak muda untuk memilih pemimpin negara dan parti memerintah negara.

“Jangan sekali-kali membiarkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjadi pilihan raya umum yang melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menidakkan golongan berusia 18 hingga 21 tahun hak mengundi seperti termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan Undi18 dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya