PUTRAJAYA: Sokongan 18 Ahli Parlimen Pas kepada pelaksanaan Undi 18 tahun (Undi18) adalah bersyarat.
Perkara itu dibuktikan melalui Penyata Rasmi Parlimen pada 16 Julai 2019 sewaktu Usul Undi18 dibahaskan di Parlimen serta beberapa kenyataan pemimpin kerajaan lain yang mahu pelaksanaannya itu perlu bersertakan pendidikan politik.
Justeru, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan persetujuan penangguhan pelaksanaan Undi18 adalah tidak bercanggah dengan pendirian ahli-ahli Parlimen Pas sewaktu meluluskan pindaan undang-undang itu.
Beliau berkata, sebagai contoh, butiran perbahasan Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyebut bahawa bersetuju untuk meluluskan pindaan itu, tetapi, pendidikan politik lebih penting daripada pendaftaran automatik.
Jelasnya, selain itu, Setiausaha Agung Pas yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu silibus berhubung pendidikan politik dan demokrasi supaya rakyat Malaysia yang diberi peluang, umur semuda 18 tahun untuk menjadi pengundi, mereka memahami peranan dan tanggungjawab serta amanah sebagai rakyat Malaysia dalam konteks pilihan raya dan pemilihan pemimpin dalam negara.
“Malah, sokongan bersyarat kepada Undi18 ini sebenarnya bukan sahaja dinyatakan oleh ahli-ahli Parlimen Pas, tetapi juga ahli-ahli Parlimen UMNO.
“Contohnya, butiran perbahasan Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Abdul Hadi dikecam pelbagai pihak kerana menyatakan undi 18 tahun mestilah ada kematangan selain menyebut mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.
Menurut Kamarul Zaman, disebabkan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen Pas dan ahli-ahli Parlimen UMNO itu, maka, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu Menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini, telah menyebut bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun 2017.
SPR juga kata Dr. Mahathir, memperkenalkan Program APR Associate Trainer atau lebih dikenali dengan nama AAT untuk melatih lebih ramai penceramah dan jurulatih yang mampu untuk bersama-sama dengan APR bagi menyampaikan maklumat tentang proses pilihan raya di Malaysia dan memberikan kesedaran untuk mendaftar sebagai pemilih kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan masyarakat umum di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, lanjutan daripadanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika itu dalam kenyataan media beliau pada 3 September 2019, menyebut satu pendekatan pendidikan pengundi yang menyeluruh perlu dilaksanakan secara berkesan.
Dalam satu lagi kenyataan media beliau pada 10 Oktober 2019, Pengerusi SPR itu turut menyebut program AAT yang bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah akan dilaksanakan.
“Begitupun, selepas tarikh ini, seperti yang kita semua ketahui, pandemik Covid-19 melanda negara sehingga sekarang, perubahan kerajaan berlaku dari Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional dan Pengerusi SPR bertukar ke Datuk Abdul Ghani Salleh, dan tiada sebarang makluman mengenai pendidikan pengundi ini.
“Oleh itu, berdasarkan kepada fakta-fakta yang dinyatakan ini, selain daripada pelbagai permasalahan teknikal lain yang belum mampu diselesaikan, maka sudah sewajarnyalah penangguhan perlaksanaan Undi 18 ini diterima dengan baik oleh semua pihak,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, perlulah dipastikan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen Pas dan ahli-ahli Parlimen UMNO ini dipenuhi serta bahawa modul pendidikan pengundi dan modul pendidikan sivik ini dilaksanakan dahulu sebelum Undi 18 dilaksanakan.
Jelasnya, seperti yang ditegaskan oleh ahli-ahli Parlimen Pas dan ahli-ahli Parlimen UMNO ini, memberi hak mengundi kepada golongan yang berumur 18 tahun tanpa memberikan pendidikan yang betul kepada mereka boleh sahaja menyebabkan negara tergadai.-UTUSAN ONLINE