SEREMBAN: Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memberikan makluman mengenai perkembangan terkini status pelaksanaan pengundi 18 tahun.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, rakyat memerlukan jawapan tentang perkara berkenaan selepas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim baru-baru ini memaklumkan kelayakan mengundi pada pilihan raya di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan.
Ahli Parlimen Jelebu itu juga menambah, kenyataan itu sesuatu yang menghairankan kerana sehingga ke hari ini, SPR masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan Rais dilihat mendahului SPR dalam perkara itu.
“Berbaki lebih kurang empat bulan sahaja lagi sebelum Julai 2021, saya merasakan pihak SPR perlu memaklumkan apakah status terkini pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik ini. Adakah benar ia tidak akan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang? rakyat perlukan jawapan.
“SPR juga perlu memberikan makluman perkembangan terkini berkenaan perkara ini bagi memastikan agar kita dapat berlaku adil kepada semua pihak atau parti yang terlibat bagi membolehkan parti melakukan persediaan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rais baru-baru ini dilaporkan berkata, kelayakan mengundi pada pilihan raya di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa bulan Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Menurut Rais, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Sementara itu, menurut Jalaluddin, walaupun telah berlaku pertukaran kerajaan pada Mac 2020, ia tidak sepatutnya menganggu urusan SPR dalam pelaksanaan undi 18 tahun tersebut.
“Ia tidak merubah sebarang keputusan kerana pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu telah diluluskan dan ia wajib dilaksanakan.
“Tempoh hampir dua tahun yang diperuntukkan kepada pihak SPR selepas RUU tersebut diluluskan sepatutnya sudah mencukupi bagi melakukan persiapan yang sepatutnya. Tidak kiralah parti mana yang akan disokong oleh anak muda kelak, tapi hak mereka kita telah persetujui, kita telah berikan, dan kita harus hormati hak mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE