PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikaikan bagaimana usul Undi 18 yang diluluskan dalam Parlimen pada 16 Julai 2019 boleh ditangguhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang sedangkan ketika itu mendapat undian penuh tanpa seorang pun berkecuali.
Najib berkata, ketika itu semua 211 ahli Parlimen dalam dewan menyokong termasuk Perdana Menteri Keenam (beliau) PM7 (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Menteri Undang-undang kerajaan PN sekarang Datuk Takiyudidn Hassan menyokongnya.
“Jadi, patutkah kerajaan hari ini memberi alasan bahawa mereka perlu masa sehingga September 2022 untuk melaksanakan perintah sebulat suara Parlimen ini termasuk suara PM8 yang turut menyokong dalam dewan masa itu?, ” ujar beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau turut mempersoalkan, adakah kerajaan perlu tempoh masa tiga tahun dan dua bulan untuk menukar syarat mendaftar daripada `telah mencapai umur 21 tahun” ke “telah mencapai umur 18 tahun”?
Dalam pada itu menerusi hantaran berasingan, beliau turut berkongsi kekecewaan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysuia (Bersatu) yang juga menyatakan kekecewaan dengan keputusan kerajaan PN untuk menangguh pelaksanaan Undi 18 ke September 2022 .
Armada Bersatu menyatakan mereka faham Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bimbang pengundi akan keliru pada hari mengundi nanti.
“Bagaimana pulak anak muda boleh keliru sama ada mereka sudah cukup umur 18 tahun atau 21 tahun?, ” ujar Najib yang memohon penjelasan.- UTUSAN ONLINE