UMNO tetap dengan 'No Anwar No DAP' - Utusan Malaysia

UMNO tetap dengan ‘No Anwar No DAP’

MUHD. Hasif Abdul Rahim, penternak ikan laga, menerima lawatan daripada Onn Hafiz Ghazi di Kampung Paya Mas, Simpang Renggam, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Sri Anwar Ibrahim bahawa parti itu kini sedang merintis persefahaman dengan UMNO dianggap sebagai ‘bermimpi di siang hari’.

Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebagai pemimpin muda parti, beliau percaya ketetapan ‘No Anwar No DAP’ tetap akan terus menjadi pegangan semua peringkat ahli parti UMNO dan tidak akan berubah.

Jelas beliau, Anwar tidak perlu bersandiwara politik dan mengelirukan rakyat terutama ketika pemimpin pembangkang itu dalam keadaan terumbang-ambing mencari sokongan.

“Cukuplah dengan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang telah banyak merugikan rakyat.

“Jangan sesekali cuba mengelirukan rakyat khususnya keseluruhan ahli UMNO kerana semua sudah tahu permainan Anwar terutama sekali ketika terdesak dan kehilangan sokongan daripada ahli parti itu sendiri.

“Kami di peringkat akar umbi tidak sesekali akan mudah percaya terhadap permainan ini kerana sudah masak dengan cara beliau berpolitik terutama sekali untuk memperdayakan rakyat, ketetapan ini harus dibuat semasa perhimpunan agung UMNO bulan ini,” katanya.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar yang dipetik daripada satu wawancara dalam Mingguan Malaysia semalam.

Terdahulu beliau melawat melawat penternakan ikan laga oleh seorang anak muda, Muhd. Hasif Abdul Rahim, 20, di Kampung Paya Mas, Simpang Renggam dekat sini.

Beliau menambah, apa yang dilakukan Anwar sekadar untuk menarik perhatian umum terhadap dirinya yang sudah kehilangan kepercayaan bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi parti namun ahli akar umbi PKR.

“Sudah terang lagi bersuluh tidak ada perjanjian persefahaman dengan pemimpin parti itu dan kenyataan yang dikeluarkan olehnya hanya sebagai syok sendiri.

“Tidak akan ada persefahaman antara UMNO dan PKR, ini kerana kami akan terus kukuh dengan prinsip ‘No Anwar No DAP’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya