KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menolak dakwaan bahawa UMNO terpencil dan dominan dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana, kata beliau, menteri dan timbalan Menteri Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet kini memperoleh jumlah yang lebih besar berbanding parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Itu pandangan Timbalan Presiden tetapi kedudukan BN ada 11 menteri, sembilan timbalan menteri. Bermakna kita ada 20 menteri dan timbalan dalam Kabinet. Lebih besar daripada Bersatu, Pas, dan besar daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Bersatu ada 8. Untuk BN kita ada 11. Sekarang ni tafsiran UMNO tak dominan, ini benda perlu dibincangkan sebab saya melihat kekuatan suatu kabinet itu ialah majoriti ahli kabinet dari parti mana,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata, walaupun UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan PN, peranan parti itu sangat terpencil dan tidak dominan.
“Kita bukan mahu mendabik dada menyatakan hanya kita yang paling pandai, paling tahu semua perkara. Bukan itu maksud saya. Cuma, BN yang diterajui oleh UMNO sebagai induk itu, ada kelebihannya yang tersendiri, yang telah terbukti, malah yang cuba ditiru oleh orang lain tetapi gagal.
“Punca kegagalan mereka sebenarnya ialah meminggirkan UMNO sebagai parti terbesar Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE