UMNO perlu fokus agenda penyatuan ummah - Utusan Malaysia

UMNO perlu fokus agenda penyatuan ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kepimpinan UMNO wajib mengangkat kembali watak perjuangan berlandaskan ‘ketaksuban akal’ seperti mana yang dididik kepimpinan terdahulu bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 Sabtu ini.

Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, para perwakilan UMNO perlu menjadikan perhimpunan itu sebagai gelanggang untuk mencorak hala tuju parti dalam kerangka ketaksuban akal itu, bukannya berbicara dan berhujah isu-isu ‘nafsu’ yang bersifat remeh-temeh.

Dalam konteks ini, katanya, kepimpinan Pergerakan Pemuda dan Puteri selaku generasi penerus perjuangan bangsa Melayu perlu menjadikan perhimpunan berkenaan untuk menonjolkan watak kepimpinan tersebut dengan menggariskan isu perjuangan bangsa Melayu sejajar era Revolusi Industri 4.0 dengan fokus utama kepada agenda penyatuan bangsa Melayu.

“Agenda penyatuan bangsa Melayu yang telah ditandai dengan gerakan penyatuan ummah, Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN) perlu diangkat setinggi mungkin oleh kepimpinan sayap pemuda dan puteri UMNO.

“Mengapa? Ini kerana ketiga-tiga gerakan tersebut terbentuk dari kesedaran ketaksuban akal mengenai peri pentingnya penyatuan bangsa Melayu dalam mendepani masa depan semakin mencabar bagi kelangsungan bangsa Melayu itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, jika watak itu dapat ditonjolkan kedua-dua sayap tersebut sewaktu perhimpunan kali ini, ia bakal memberikan signal positif terhadap anak muda di luar UMNO dalam menilai hala tuju kepimpinan parti selaku ‘abang long’ kepada perjuangan bangsa Melayu di negara ini.

Kata beliau, pada masa sama, proses perundingan menyatukan bangsa Melayu di bawah satu wadah perjuangan utuh bakal disambut kepimpinan Melayu yang berada di luar UMNO, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dengan lebih konkrit.

Beliau berkata, langkah ini penting untuk UMNO mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika menilai keupayaan UMNO yang dilihat tidak mampu untuk ‘mendayung’ bersendirian dalam berhadapan dengan ‘ombak’.

“Pada masa sama, kepimpinan Melayu dari Bersatu dan Pas juga perlu bersikap jiwa besar dengan akal budi yang luhur dalam memastikan agenda penyatuan bangsa Melayu pasca PRU-14 dapat direalisasikan.

“Sikap bermuhasabah, bermuafakat, bertolak ansur dalam kalangan kepimpinan Melayu pasca PRU-14 penting bagi memastikan keberadaan bangsa Melayu itu kekal,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya