UMNO Kelantan tak matang - Utusan Malaysia

UMNO Kelantan tak matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Kelantan memperlihatkan sikapnya yang ‘tidak matang’ apabila bertindak memutuskan hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab. Aziz berkata, tindakan sebegitu tidak memberi kebaikan sebaliknya hanya mengeruhkan suasana politik tanah air ketika ini.

Malah katanya, langkah itu turut mencerminkan sikap UMNO yang lebih ghairah berpolitik berbanding menyokong usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) melawan ancaman pandemik Covid-19.

“UMNO Kelantan perlu kembali semula ke landasan sebenar dan melihat semula tujuan asal pembentukan PN. Semangat untuk membina dan memulihkan krisis politik negara perlu terus dipateri serta diperkasa oleh semua parti.

“Tambahan pula seluruh negara ketika ini sedang terkesan Covid-19. Bila mereka mengeluarkan kenyataan memutuskan kerjasama dengan Bersatu, kami bimbang ia mengeruhkan lagi situasi politik negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 12 daripada 14 bahagian UMNO Kelantan membuat ketetapan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.

Perkara tersebut dicapai dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang berlangsung di sini dan dihadiri 12 bahagian kecuali Ketereh, dengan satu bahagian lagi iaitu Tanah Merah masih digantung.

Dalam mesyuarat sama, UMNO Kelantan sekali lagi memberi kata dua kepada Pas untuk membuat keputusan jelas dan segera, sama ada memilih untuk bersama UMNO atau Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15.

Muhammad Amiin berkata, tindakan terbaharu digerakkan UMNO Kelantan dilihat bakal mengundang perpecahan lebih besar dalam kalangan orang Melayu.

“Jangan kerana kuasa kita menggadaikan masa depan rakyat dan negara. Carilah titik persamaan yang baik agar kita sama-sama dapat memulihkan semula politik negara ke arah lebih stabil,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya