KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan bahawa parti itu sedia untuk membentuk jajaran baharu dan menjalinkan kerjasama dengan parti lain.
Berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, beliau berkata, parti itu sedar bahawa perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
“Maka demi masa depan Malaysia, UMNO melalui Barisan Nasional (BN), wajib meneroka semua kemungkinan yang wujud untuk dimanfaatkan.
“Jadi, berbekalkan keanjalan yang UMNO dan BN ada ini, ia memungkinkan kita untuk “memeta pembaikan politik”, atau “political correctness” yang baharu dan strategik,” katanya.
Mohamad menjelaskan, beliau menganjurkan kesediaan untuk melakukan pembaikan politik kerana beranggapan negara sedang berada dalam era ‘disruption’ dan ‘survival mode’.
“Era ini menuntut kita keluar dari zon selesa dan melepaskan diri daripada sebarang kejumudan pendekatan politik yang selama ini membelenggu kita.
“Telah tiba masanya untuk UMNO meneroka, jalan progresif dengan memikirkan percaturan serta pembaikan politik yang lebih sesuai zaman,” katanya.
Malah, beliau berkata, sekarang adalah zaman kebarangkalian dengan seribu kemungkinan dan akan sampai waktu bahawa UMNO perlu meneroka pembaikan politik dengan terbuka dan berani.
Namun katanya, pembaikan itu mesti menyumbang kepada penyelesaian kecelaruan politik di Malaysia tanpa menggadaikan perkara-perkara asas yang dipegang dan diperjuangkan serta membawa nilai, prinsip dan syarat-syarat yang ketat.
Bukan itu sahaja, kata beliau, UMNO melalui BN akan bekerjasama hanya dengan mereka yang berprinsip dan diterima rakyat.
“Kalau kita benar-benar mahu memeta satu pembaharuan politik, saya jamin pada semua, bahawa kepimpinan UMNO akan mengambil pendekatan berhati-hati dengan perkiraan jangka masa panjang yang matang.
“Insya-Allah, pembaikan politik yang UMNO usahakan akhirnya mesti menjadikan politik di Malaysia lebih baik. Dan dengan politik yang lebih baik ini, UMNO akan mengusahakan sebuah pemerintahan, yang berpotensi memulihkan Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE