KOTA BHARU: Sebanyak 12 daripada 14 bahagian UMNO Kelantan membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perkara tersebut dicapai dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang berlangsung di sini malam tadi dan dihadiri 12 bahagian, dengan satu bahagian iaitu Tanah Merah masih digantung.
Dalam mesyuarat sama, UMNO Kelantan sekali lagi memberi kata dua kepada Pas untuk membuat keputusan jelas dan segera, sama ada memilih untuk bersama UMNO atau Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim berkata, pihaknya turut membuat ketetapan untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti
yang dipilih secara demokrasi.
“Pendirian UMNO Bahagian Ketereh yang dihantar kepada Presiden UMNO adalah kes terpencil kerana tidak melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.
“UMNO Kelantan tetap dan terus bersolidariti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun tidak menyebut bahagian mana yang tidak hadir mesyuarat itu dan berkecuali dalam ketetapan yang diumumkan hari ini, selain UMNO Bahagian Tanah Merah yang masih digantung.
Untuk rekod, Badan Perhubungan UMNO Kelantan mempunyai 14 bahagian.
Sabtu lalu, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara menyatakan pendirian rasmi secara bertulis untuk dihantar kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Surat bertarikh 19 Mac 2021 itu ditandatangani kesemua 30 ahli jawatankuasa UMNO Bahagian dan telah memutuskan empat perkara, antaranya untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Bersatu. – UTUSAN ONLINE