PASIR GUDANG: Umat Islam perlu berhati-hati memberi reaksi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kalimah Allah kerana tindak tanduk dan perbuatan tidak baik akan memberi persepsi salah terhadap agama Islam.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambrose berkata, keputusan mahkamah itu sebenarnya menguji kefahaman dan penghayatan umat Islam sendiri.
Menurutnya, pendekatan serta tindak balas seorang Muslim dalam isu ini adalah cerminan kepada penghayatan kita mengenai ajaran dan nilai agama Islam sebenar.
“Begitu juga cara, pendekatan serta kaedah dalam merungkai isu ini dan misi kita untuk mendapatkan kebenaran mengenainya akan menentukan di mana kedudukan agama Islam itu sendiri.
“Islam itu agama yang indah, sederhana, pragmatik serta universal. Dalam Islam ada akidah dan tauhid, ditekankan juga soal akhlak dan adab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Azleen berkata, umat Islam tidak boleh bertindak melampau atas alasan mempertahankan kesucian kalimah Allah.
“Saya mempunyai tiga pandangan, pertama kita mesti tunggu alasan dan penghakiman bertulis hakim-hakim Mahkamah Tinggi yang telah membuat keputusan.
“Penghakiman bertulis berkenaan perlu dikaji, diteliti dan dibincangkan dengan mereka yang ‘ahli’, berbanding berhujah atas sentimen keagamaan. Kita kena objektif cari kebenaran.
“Kedua, hakim tugasnya menterjemah undang-undang, ini kita kena faham. Bukan urusan kita mempertikai akidah dan ketauhidan hakim yang terlibat. Sedih saya melihat poster dan grafik yang bertebaran dalam media sosial mempertikai akidah dan tauhid mereka.
“Ketiga, kita perlu sokong usaha kerajaan melalui pejabat Peguam Negara untuk memanfaatkan saluran dan prosedur undang-undang sedia ada dalam mencari kebenaran,” jelasnya.
Katanya, kerajaan sudah berjanji untuk mengemukakan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan akan dibawa ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi untuk mendapatkan keadilan.