ALOR GAJAH: Beberapa penegasan yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang menyentuh hala tuju parti, cukup melegakan ahli akar umbi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, Ahmad Norazril Abd. Aziz berkata, kata-kata Mohamad berkenaan, UMNO sentiasa menjadi induk dalam pemerintahan negara, sedikit sebanyak memberi gambaran jelas tentang misi parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, penjelasan tentang konsep perpaduan ummah juga dilihat telah meleraikan kekusutan ahli yang sebelum ini sering berasa ‘serba salah’ ekoran hubungan baik dengan parti tertentu atas nama perpaduan ummah.
“Apabila Timbalan Presiden menyentuh soal UMNO merupakan parti induk pemerintahan, saya fikir itu merupakan amanat kepada jentera untuk menyiapkan gerak kerja dalam memenangi semula pilihan raya akan datang.
“Sebelum ini kita sedikit keliru, tentang konsep perpaduan ummah. Yang mana kita risau dilabel jadi parti yang meruntuhkannya. Tapi apa yang dijelaskan oleh Tok Mat pada hari adalah kebenarannya kerana UMNO yang dahulu telah bergerak ke arah itu,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO di Pejabat UMNO Bahagian Alor Gajah di sini, hari ini.
Perhimpunan Agung kali ini banyak berbeza apabila kehadiran ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hanya dihadkan kepada Majlis Tertinggi (MT) dan pimpinan utama bahagian.
Perwakilan yang lain hanya mengikutinya melalui siaran langsung selama dua hari di bahagian masing-masing.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah berkata, meskipun berlangsung dalam norma baharu, rata-rata perwakilan menzahirkan rasa syukur apabila dapat bersidang selepas dua kali ditangguhkan sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun tiada pembukaan gerai jualan dan tiada hiasan-hiasan dalam PWTC seperti kebiasaan, ia tidak sedikitpun melunturkan para perwakilan untuk bersidang.
“Persidangan secara maya dan fizikal, biasanya skrin akan tayang latar belakang Perhimpunan Agung UMNO tetapi kini ditayangkan kepada perwakilan di kawasan masing-masing.
“Buatlah apa sahaja, asalkan dapat juga kita bersidang tahun ini setelah tertunda dua kali,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE