PETALING JAYA: Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menawarkan lebih 10 kursus jangka pendek bagi membantu golongan B40, pekebun kecil dan masyarakat luar Bandar.
Ketua Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan berkata, program berkenaan dapat membantu golongan sasar dalam menjana dan meningkatkan pendapatan seisi keluarga serta memulihkan semula ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.
Katanya, kursus jangka pendek adalah sebagai menyokong hasrat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi melahirkan ‘Luar Bandar Sejahtera’ di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).
“Antara kursus jangka pendek adalah fertigasi cili, ternakan ikan air tawar, kursus tanaman sayuran jangka pendek, tenaga kerja getah masyarakat luar bandar dan tenaga kerja sawit masyarakat luar bandar.
“Selain itu kursus asas jahitan pakaian, solekan dan andaman, baik pulih telefon, bakeri, tanaman fertigasi dan kursus pengurusan tapak semaian antara yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
UCAM adalah sebuah anak syarikat milikan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang ditubuhkan pada tahun 1993 di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996.
Ia terletak di Alor Gajah, Melaka dan berkeluasan 150 ekar.
UCAM menawarkan program akademik pengajian tinggi dalam bidang pertanian perladangan dan keusahawanan bagi generasi kedua masyarakat pekebun kecil dan luar bandar seiring dengan penumpuan negara dalam Program Transformasi Ekonomi terutama dalam sektor pertanian.
Faizatul Akmar berkata, kedua-dua program itu sangat penting bagi menjamin matlamat negara dalam meningkatkan dan memperluas khidmat bimbingan kerjaya di setiap peringkat terutama golongan sasar serta B40 seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Katanya, program tersebut dilihat selari dengan objektif KPLB bagi mencapai matlamat ‘Luar Bandar Sejahtera’ yang mengutamakan keperluan rakyat serta mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik serta Model Perancangan Strategik Risda (MPSR 2021-2025) dalam memastikan pendapatan Pekebun Kecil mencapai minimum RM 4,395 sebulan seisi keluarga pada akhir tahun 2025.
“Model ini menjadi titik fokus penilaian Risda dalam perancangan program atau projek berimpak tinggi dan bersasar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-12. – UTUSAN ONLINE