Tutup operasi jika kes Covid-19 di kilang tinggi - Utusan Malaysia

Tutup operasi jika kes Covid-19 di kilang tinggi

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Majikan di sektor perkilangan perlu bersedia berdepan kemungkinan penutupan operasi sekiranya terdapat jangkitan kes Covid-19 yang tinggi di kilang masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pada masa ini, terdapat kes-kes jangkitan membabitkan pekerja kilang dan keadaan itu perlu ditangani segera.

Hal ini kerana, katanya, dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini, kesihatan orang awam adalah keutamaan kerajaan negeri berbanding soal kewangan.

“Tidak ada gunanya kalau kita ada kemajuan dalam sektor ekonomi jika kita perlu berdepan dengan isu kesihatan awam.

“Jika ada kilang-kilang yang kita dapati terlalu banyak kes jangkitan Covid-19, kita akan tutup kilang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, kes jangkitan baharu Covid-19 di negeri ini mencatatkan 205 kes menjadikan kumulatif kes aktif di Pulau Pinang adalah sebanyak 14,637 kes.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan, sehingga 20 Mac lalu, sebanyak 18 kluster aktif dicatatkan di negeri ini dengan sektor perkilangan mencatatkan 11 kluster.

Menurut Jagdeep, pihaknya telah mengarahkan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meningkatkan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“Pemantauan ini harus dijalankan di lokasi-lokasi tumpuan ramai supaya mereka tidak leka dengan SOP yang telah ditetapkan.

“Semalam kadar jangkitan melebihi 200 kes, kita mahu semua pihak bekerjasama agar jumlah kes segera menurun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN