Tujuh motosikal, dua kereta polis kejar Proton Satria - Utusan Malaysia

Tujuh motosikal, dua kereta polis kejar Proton Satria

SUSPEK diberkas selepas memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kenanga, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki ditangkap polis selepas cuba melarikan diri memandu sejauh 15 kilometer sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera, selain merempuh dua kenderaan lain di Kampung Lapan di sini, semalam.

Suspek berusia 21 tahun itu diberkas dalam aksi mengejar membabitkan 10 orang pegawai dan anggota bersama-sama tujuh buah motosikal polis, satu unit peronda MPV serta kereta polis pelancong kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mendakwa terdapat seorang pemandu lelaki di dalam kereta jenis Proton Satria tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, pengadu telah mengetuk cermin kereta berkenaan bagi mengejutkan lelaki tersebut, namun suspek tetap tidak bangun sebelum bertindak menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Lebih kurang lima minit pasukan bomba tiba dan berusaha untuk membuka pintu kereta tersebut, suspek tiba tiba tersedar dan terus memecut kenderaan tersebut dipercayai cuba melarikan diri.

“Suspek memandu secara melulu dan berbahaya ke arah Jalan Tengkera. Sepasukan polis kemudian cuba mengejar suspek dan pasukan bantuan turut tiba di Limbongan bagi memberhentikan pergerakan suspek.

“Lelaki itu bagaimanapun terus memecut dan telah melanggar sebuah motosikal penguat kuasa yang turut menyebabkan seorang anggota cedera dan melanggar dua buah kereta awam ketika melalui jalan berhampiran Nissan Kampung Lapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau memberitahu, akibat pelanggaran itu, rim dan tayar kereta suspek mengalami kerosakan, namun lelaki itu terus memecut laju ke arah Medan Selera Tun Tuah.

Jelas, suspek bagaimanapun diberkas selepas memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kenanga berhampiran sebuah kedai serbaneka sebelum meluru keluar dari kenderaannya untuk melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek kita menemukan satu beg berisi lima paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 52.86 gram, satu alat penimbang digital dipercayai untuk kerja-kerja membungkus dadah.

“Semakan lanjut, kita dapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah. Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif methamphetamine,” katanya.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 23 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya