IPOH: Tindakan pembangkang mengecam keputusan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Xavier Jayakumar keluar parti bukan pelik dan sememangnya dijangka disebabkan rasa marah dan tidak puas hati.
Bagaimana pun, Ahli Parlimen Kuala Langat itu pasti mempunyai alasan tersendiri termasuk soal peribadi yang menyebabkan beliau berbuat demikian.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut semestinya memberi tamparan kepada pembangkang apabila seorang demi seorang pemimpin mereka bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, keputusan Dr. Xavier juga bukanlah dipengaruhi oleh sesiapa sebaliknya atas kerelaan beliau sendiri apatah lagi kedudukannya sebagai tokoh politik berpengalaman.
“Saya berpandangan bukan mudah individu yang lama dalam politik seperti Dr. Xavier untuk diberikan tekanan oleh pihak lain sehingga menyebabkan beliau takut lalu keluar parti.
“Malah, bukan mudah untuk memberi tekanan (dalam politik) pada pemimpin besar seperti beliau. Jadi dakwaan mengatakan Dr. Xavier ditekan atas sebab-sebab politik sangat tidak berasas.
“Kalau benar ada tekanan, pihak yang membuat dakwaan itu kena tunjukkan bukti agar rakyat tidak berprasangka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa hadir pada Sesi Penerangan Bersatu Perak Bersama Ketua Penerangan Bersatu di Hotel Casuarina di sini hari ini.
Program dihadiri Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan itu melibatkan kira-kira 300 wakil-wakil Bersatu seluruh negeri Perak.
Pada Rabu, Dr. Xavier mengumumkan keluar PKR diambil kerana kekecewaan beliau terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ketika ini dan menyokong kerajaan PN.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga tidak menolak sekiranya benar lebih ramai ahli-ahli Parlimen pembangkang akan mengikuti langkah Dr. Xavier memberi sokongan kepada PN.
Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bahawa seramai tujuh hingga lapan orang lagi ‘kawannya’ memberi indikasi dan bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan PN mungkin betul.
“Kita nampak ketika ini kerajaan PN telah melakukan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan sangat baik, jadi tak mustahil jika ada yang sudah mula tertarik dengan kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE