TASEK GELUGOR: Perbuatan menuduh pemimpin politik melompat parti disebabkan kerana imbuhan atau mahu mengelak daripada sabitan kes mahkamah hanya persepsi yang cuba ditimbulkan sesetengah pihak yang tidak senang dengan pemimpin berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Shabudin Yahaya berkata, adalah tidak wajar mana-mana pihak membuat justifikasi sendiri tanpa memahami sebab sebenar mengapa keadaan itu berlaku.
“Kalau hanya satu atau dua orang sahaja (yang melompat parti), mungkin kita boleh anggap ada elemen tidak sihat sedang berlaku (dalam parti politik mereka).
“Namun, sekiranya ia berlaku secara berkumpulan atau lebih daripada dua ke tiga kali dan sebagainya, pastinya lebih kepada strategi politik kerana politik ini pada asasnya merupakan sesuatu yang dinamik. Ia boleh berubah mengikut keperluan dan kesesuaian,” katanya.
Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor ditemui ketika menghadiri program Sumbangan Prihatin Tasek Gelugor di sini hari ini.
Bantuan berupa barangan keperluan harian bernilai kira-kira RM300,000 itu dijangka diagihkan kepada hampir 10,000 isi rumah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor.
Mengulas lanjut mengenai isu pemimpin melompat parti, Shabudin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri mengakui beliau antara pemimpin yang sering diperkatakan selepas memilih meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.
Mempunyai sebab-sebab yang tersendiri berbuat demikian katanya, dari segi dasar atau politik, beliau tidak pernah meninggalkan pengundi-pengundinya di Tasek Gelugor meskipun sering dilabel sebagai ‘pengkhianat’ dan sebagainya.
Menurut Shabudin, dalam hal politik segala bentuk tuduhan itu tidak menjadi ‘kudis’ kerana beliau masih terus bersama rakyat dan program bantuan hari ini misalnya disusun untuk manfaat mereka.
“Sebenarnya, bukan sahaja parti saya (Bersatu) mendapat faedah, parti lama saya (UMNO) pun ramai yang dapat faedah kerana apabila kita beri bantuan, kita tak tanya pun kamu daripada parti A atau B. Polisi itu tidak ada dalam pentadbiran pejabat saya (Ahli Parlimen Tasek Gelugor).
“Tambahan pula, sekarang ini kita lompat untuk bentuk kerajaan dan ini akan memberi peluang lebih luas kepada kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE