PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediaan untuk menghadiri Persidangan Agung UMNO yang dijadualkan pada 28 Mac ini.
Perkara berkenaan dikongsi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menerusi hantaran di Facebook pagi ini.
“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan saya telah menerima jemputan untuk menghadiri Persidangan Agung UMNO pada 28 Mac ini. Insya-Allah, akan hadir.
“Semoga penyatuan ummah yang menjadi teras Muafakat Nasional (MN) akan terus diperkukuhkan,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air itu.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini dan dijalankan secara hibrid.
Ia menggabungkan kehadiran fizikal di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dan secara maya di 190 bahagian di seluruh negara kecuali Sarawak.
Difahamkan, isu pemuafakatan MN dijangka perkara yang disentuh perwakilan pada perhimpunan itu nanti.
Ia juga sekali gus bakal merungkai persoalan sejauh mana MN yang dimeterai pada 14 September 2019 itu dapat dipertahankan.
Sebelum ini, Pas komited untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama, mempertahan MN pada pilihan raya umum akan datang.
UMNO memutuskan sebaliknya dan menoktahkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN ONLINE