Top Glove didakwa 10 tuduhan gagal sedia asrama diperakui JTK - Utusan Malaysia

Top Glove didakwa 10 tuduhan gagal sedia asrama diperakui JTK

WAKIL dipercayai dari Top Glove Sdn. Bhd. di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini ketika syarikat itu didakwa atas 10 tuduhan gagal menyediakan penginapan sempurna dan diperakui Jabatan Tenaga Pekerja (JTK) kepada pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal menyediakan penginapan sempurna dan diperakui Jabatan Tenaga Pekerja (JTK) kepada pekerja, November lalu.

Syarikat itu yang diwakili pengarahnya bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua 10 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didakwa menyediakan penginapan pekerja warga asing yang tidak diperakukan dengan perakuan penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja mengikut Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di antara pukul 9.30 pagi hingga 1.30 petang di Tasek Mutiara 2, Pusat Perdagangan Tasek Mutiara di Ipoh pada 26 November 2020.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd. Syakir Hasfar manakala syarikat berkenaan diwakili peguam, Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Media pada Januari lalu melaporkan, JTK Perak membuka 10 kertas siasatan ke atas sebuah syarikat sarung tangan di kawasan perumahan Tasek di sini yang didapati melanggar Akta 446.

Kesalahan yang dikesan ketika operasi di syarikat berkenaan termasuk tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah pekerja yang menginap.

Aspek kebersihan di tempat penginapan itu juga didapati terabai dengan keadaan dalam rumah berselerak selain tempat penginapan terbabit tidak mempunyai surat perakuan penginapan dikeluarkan JTK. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya