PELABUHAN KLANG: Sebuah jeti di Marina Pulau Indah di sini, rosak akibat dilanggar tongkang membawa besi buruk yang hanyut dipercayai selepas tali tambatannya terputus, semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 3 petang itu.
Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan berkata, Jabatan Laut Wilayah Tengah menerima maklumat satu tongkang Inai Tanjung 39 hanyut dan menuju ke Marina Pulau Indah.
Menurut kenyataan itu, tongkang tersebut melanggar pontoon Pier Ahmad di Marina Pulau Indah.
“Pelanggaran tersebut mengakibatkan kerosakan teruk pada struktur jeti itu dengan tiang cerucuknya senget.
“Pontoon yang menghubungkan antara jalan darat di Marina dan Pier Ahmad juga pecah. Namun, tiada kemalangan jiwa dan tumpahan minyak berlaku,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, tongkang yang terkandas ditarik oleh bot tunda pukul 4 petang ke Inai Kiara Shipyard.
“Kita menubuhkan pasukan penyiasat dalam mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, tular dalam laman sosial Facebook video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan tongkang membawa besi buruk itu telah melanggar pontoon di Marina Pulau Indah. – UTUSAN ONLINE