Tong sampah kalis monyet - Utusan Malaysia

Tong sampah kalis monyet

TONG sampah kalis monyet yang diletakkan di sepanjang Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menempatkan kira-kira enam ‘tong sampah kalis monyet’ dalam usaha menjaga dan mengekalkan kebersihan pusat peranginan Teluk Chempedak sekali gus mampu menjamin kesejahteraan pengunjung.

Tong sampah khas yang diletakkan di sepanjang persisiran pantai dianggarkan bernilai RM300 setiap satu merupakan produk terkini Kumpulan Inovatif dan Kreatif dari Jabatan Landskap MBK.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal berkata, tong sampah khas itu dicipta agar tidak boleh lagi diselongkar oleh haiwan khususnya monyet.

“Dengan penghasilan tong ini kita percaya mampu menangani isu sampah bertaburan berpunca daripada haiwan terbabit. Kami terpaksa membuat satu inovasi rekaan bagi membolehkan sampah seperti bungkusan sisa makanan dapat dibuang.

“Terdahulu kawasan tumpuan orang ramai ini sangat kotor disebabkan kehadiran monyet liar yang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan sehingga merencatkan pemandangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Norkamawati, inovasi rekaan tong sampah itu bagi membolehkan sampah seperti bungkusan sisa makanan yang dibuang pengunjung tidak boleh diselongkar haiwan terbabit.

“Kalau dulu kita menggunakan tong sampah biasa… monyet boleh membuka dan menyelongkar makanan dalam tong sampah itu sepanjang masa.

“Ia mempunyai struktur licin dan tertutup rapi berbanding tong sampah biasa, dan diperbuat daripada ‘stainless steel’.

“Jadi, terhasilah tong sampah ini yang praktikal untuk kegunaan orang ramai dan ia tidak boleh diakses (buka) oleh monyet kerana terhalang oleh petak pada bahagian atas,” katanya.

Sementara itu, Norkamawati berkata, MBK yakin dapat menjamin kebersihan Teluk Cempedak sejajar dengan fokus untuk menjadikan ia destinasi pantai pilihan pelancong.

“Dengan reka bentuk dinamik, kreatif dan mesra pengguna mampu menambahkan lagi seri landskap Teluk Cempedak,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya