PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus prihatin dengan nasib rakyat dan menggesa agar pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyediakan pakej rebat kepada golongan kurang berkemampuan.
Ahmad Zahid berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan lebih ramai individu berada di rumah sekali gus mematuhi arahan kerajaan.
“Baru-baru ini, saya berkesempatan bertanyakan pada seorang kakitangan TNB. Dia beritahu saya, sepanjang PKP dilaksanakan, kebanyakan rakyat di negara ini berada di rumah dan menggunakan pelbagai alatan elektrik. Perkara ini saya faham tetapi PKP dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sekiranya pihak TNB dan kerajaan memperluaskan Program Rebat Bil Elektrik RM40. Setahu saya, program itu secara bersasar bagi membantu ketua isi rumah yang berstatus miskin tegar sahaja,” katanya.
Kata Zahid, rebat untuk golongan yang kurang berkemampuan amatlah diperlukan untuk meringankan beban pembayaran bil elektrik.
“Kita tahu elektrik digunakan seluruh rakyat Malaysia. Maka, rebat perlu diperluaskan kepada semua. Rebat RM40 juga harus dinaikkan sedikit, mungkin RM100, memandangkan ada isi rumah memiliki tunggakan sehingga ribuan ringgit,” katanya.
Terdahulu, TNB telah menerima aduan mengatakan bil elektrik kebanyakan pengguna melambung.
Bagaimanapun, TNB menjelaskan mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk juga telah dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutama ketika cuaca panas. -UTUSAN ONLINE