ALOR SETAR: Kebanyakan warga Bangladesh dan Myanmar yang menjadi tauke kebun sayur di negeri ini ‘menghilangkan diri’ ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu.
Utusan Malaysia difahamkan, sebahagian warga Bangladesh yang mengusahakan kebun sayur-sayuran secara ‘alibaba’ itu ditangkap oleh agensi penguat kuasa.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan warga asing mengusahakan kebun sayur di negeri ini terletak di Sungai Petani dan Kulim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain berkata, mereka sebelum ini didapati mengusahakan kebun sayur di tanah milik kerajaan dan tanah penduduk tempatan.
Malah, katanya, sebahagian daripada mereka pula menanam sayur di bawah talian kebal elektrik.
“Saya difahamkan sebelum ini kira-kira 50 warga Bangladesh di sekitar negeri ini yang mengusahakan kebun sayur tetapi di kawasan yang tidak begitu luas.
“Mereka menanam sayur untuk dijual kepada beberapa pemborong dan mendapat hasil lumayan. Bagaimanapun, kebanyakannya menanam sayur untuk menambah pendapatan, selain bekerja di kilang dan buruh binaan,” katanya.
Namun, Che Ani memberitahu, pada masa ini, kelibat warga Bangladesh yang mengusahakan tanaman sayur telah hilang pada awal musim PKP tahun lepas.
“Kemungkinan pergerakan mereka agak terbatas semasa PKP menyebabkan tidak dapat berulang-alik ke kebun sayur tersebut. Ini kerana kebanyakannya tidak tinggal di kawasan kebun sayur tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di 11 kebun sayur di Kampung Tok Soh dan Pantai Prai di sini pula mendapati kira-kira 100 warga Myanmar bekerja di kebun tersebut.
Kebun itu dipercayai milik penduduk tempatan yang mengusahakan tanaman betik, cili, peria, pisang, limau kasturi dan beberapa jenis tanaman kontan lain.
Setiap kebun tersebut mempunyai antara enam hingga 10 orang pekerja warga Myanmar.
Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Rashid Abdullah, 45, memberitahu, majikan pekerja asing itu menyediakan penempatan sementara untuk pekerja mereka dalam kebun sayur tersebut. – UTUSAN ONLINE