KUALA LUMPUR – Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana Ketua Polis Negeri jika gagal mengawal anggota petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di bawah kawasan kendaliannya yang tidak melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab.
Amaran itu dikeluarkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador apabila beliau menyatakan kekesalannya selepas menerima aduan ada sekelompok petugas mereka didakwa mengambil ringan tanggungjawab mereka berkawal di setiap sekatan jalan raya termasuk sempadan setiap negeri.
Abdul Hamid berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua ketua-ketua polis negeri seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak supaya mengetatkan kawalan di setiap sekatan jalan raya.
“Meskipun sejak lima hari kebelakangan ini statistik kes jangkitan Covid-19 harian menurun itu menunjukkan satu petanda baik.
“Bagaimanapun, kawalan-kawalan sekatan jalan raya termasuk di Lebuhraya Utara Selatan dan Timur Barat sempadan negeri akan dilaksanakan semaksimum mungkin.
“Yang mana pemeriksaan kenderaan akan dibuat secara lebih gigih dan tegas mengelak sebarang percubaan rentas negeri ikut mana-mana laluan termasuk lorong tikus oleh rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Abdul Hamid, hasil pemerhatiannya juga mendapati terdapat sebilangan anggota di lapangan duduk di dalam khemah rehat dan membiarkan kenderaan lalu begitu sahaja sambil melambai tangan tanpa mengambil serius keadaan semasa.
“Saya sama sekali tidak segan dan malu untuk untuk mendedahkan kelemahan ini walaupun sangat menghargai khidmat gigih sebahagian besar petugas PDRM di lapangan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Cuma saya kesal segelintir kelompok mengambil ringan tanggungjawab mereka di lapangan. Saya tak mahu PDRM dipersalahkan dan tak sanggup lihat sekali wujud kluster rentas negeri seperti sebelum ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, tegas Abdul Hamid, justeru itu amaran kepada pegawai supaya meningkatkan kawalan ketegasan mereka elak berlaku rentas daerah dan negeri sewenang-wenangnya.
“Saya tidak menolak kemungkin berlaku pergerakan yang mana ada sebahagian rakyat curi-curi balik ke negeri-negeri seperti Pantai Timur, Perak dan Pulau Pinang…maka saya akan pastikan pegawai tinggi setiap negeri dan juga dari Bukit Aman turun pantau operasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE