Tiga pusat urut tawar khidmat seks diserbu - Utusan Malaysia

Tiga pusat urut tawar khidmat seks diserbu

SEMBILAN wanita merupakan pendatang asing tanpa izin yang berjaya ditahan Jabatan Imigresen Selangor di sebuah pusat perkhidmatan urut di USJ 21, Subang Jaya, Selangor, awal pagi ini-GAMBAR IHSAN JABATAN IMIGRESEN SELANGOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan tiga pusat urut yang menawarkan perkhidmatan seks diserbu Jabatan Imigresen Selangor dalam Ops Gegar awal pagi ini.

Operasi yang dijalankan di sekitar Klang, Shah Alam dan Subang Jaya itu adalah hasil maklumat orang awam dan intipan selama tiga minggu.

Malah, dalam operasi tersebut juga, seramai sembilan wanita merupakan pendatang asing tanpa izin warga Thailand, Indonesia dan Vietnam berusia 23 hingga 43 tahun berjaya ditahan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, seramai 15 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 9 malam.

“Kesemua premis ini dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan tidak meletakkan sebarang iklan perniagaan di luar kedai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Semasa operasi, anggota imigresen terpaksa memecah pintu jeriji besi premis apabila tidak mendapat kerjasama daripada kesemua pekerja pusat itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, kesemua premis terbabit menawarkan khidmat seks dengan mengenakan caj RM150 untuk tempoh 45 minit kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang telah diberikan.

“Mereka dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Selangor bagi siasatan lanjut dan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih,” katanya.

Tambah Mohamad Shukri, pihaknya sedang memburu majikan dan pelindung kepada kesemua pendatang asing tanpa izin bagi membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN