MELAKA: Agak sukar mengelak pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), meskipun UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berjaya menyelesaikan konflik pembahagian kerusi sebelum memasuki medan berkempen.
Menjelaskan perkara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman berkata, parti-parti baharu yang lahir pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dikhabarkan akan meletakkan calon di banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di kawasan-kawasan bersifat konservatif.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, landskap pengundian pada PRU-15 akan lebih terarah kepada kekuatan dan nilai seseorang calon berbanding nama atau lambang parti.
Katanya, konsep kerjasama antara parti-parti yang kini mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula berkemungkinan berbeza kaedahnya mengikut pola politik di sesebuah negeri.
“Saya rasa setiap negeri itu mungkin ada dia punya kiraan yang berlainan. Hisab dia mungkin Sabah lain, di utara lain dan Johor lain. Saya rasa mungkin ada negeri yang memang lihat perlunya mereka berkerjasama bertanding atas tiket kerjasama.
“Mungkin lebih daripada tiga penjuru, saya dimaklumkan parti-parti baharu akan meletak calon di banyak kerusi.
“Kalau kita beranggapan bahawa isu Pas, Bersatu dengan UMNO itu semata-mata nak mengurangkan pertembungan, kemungkinan ada calon Bebas pula,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkenaan pertembungan kerusi antara UMNO dan Bersatu pada PRU-15 berkemungkinan besar tidak akan berlaku.
Kamaruzaman berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) malam semalam dengan mengambil kira pengukuhan Melayu dan Islam.
Dalam pada itu, berhubung calon wakil rakyat wanita, Azalina meminta kepemimpinan parti supaya memastikan keterlibatan Wanita UMNO dalam PRU-15 adalah tidak kurang daripada 30 peratus.
“Saya menggalakkan wanita lebih banyak tawarkan diri sebagai calon. Sebab saya harap wujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus, itu harapan saya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE