Tiga mangsa bot hilang tidak pernah memancing di laut - Utusan Malaysia

Tiga mangsa bot hilang tidak pernah memancing di laut

AZIAM Ezawatie Fauzi menunjukkan perbualan terakhir menerusi aplikasi WhatsApp dengan anaknya, Mohamad Zulkarnain Mohamat Nor sebelum mangsa dilaporkan hilang bersama lima pemancing lain di perairan Kemaman. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga daripada enam pemancing yang dikhuatiri hilang di perairan Kemaman di sini tidak pernah melakukan aktiviti menangkap ikan di laut sebelum ini.

Malah, Mohamad Zulkarnain Mohamat Nor, 20; Rosidi Mohamad, 22; dan Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19, yang merupakan sahabat karib sejak kecil itu tidak tahu berenang sekali gus menambahkan kerisauan keluarga terhadap keselamatan diri mereka.

Ibu kepada Mohamad Zulkarnain, Aziam Ezawatie Fauzi, 38, berkata, walaupun anaknya sering memancing bersama dua rakan baik itu, tetapi aktiviti tersebut hanya dilakukan di sungai dan tepi laut.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa adalah menerusi aplikasi WhatsApp pada petang Isnin lalu, sebelum anak kedua daripada tujuh beradik itu turun ke laut.

“Memang saya berat hati untuk membenarkan dia memancing di laut selama dua hari, saya minta dia jaga diri dan berhati-hati, namun, mesej itu tidak dibaca sehingga ke hari ini.

“Saya berharap anak saya dan rakan-rakannya selamat walaupun hakikatnya saya bimbang kerana dia tidak pernah ke laut serta tidak tahu berenang,” katanya ketika ditemui pemberita di Zon Maritim Malaysia Kemaman di sini hari ini.

Sementara itu, Nurul Nasuha Amran, 29, berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) adik tirinya, Mohamad Shahrul Ainmie bersama lima rakan pemancing lain dipermudahkan walaupun berdepan cabaran cuaca.

Katanya, penduduk kampung dan ahli keluarga mangsa lain turut mengadakan solat hajat agar operasi SAR itu menemui petunjuk baharu.

“Kami sekeluarga sangat risau keselamatan adik sebab dia pun tidak tahu berenang dan tiada pengalaman turun ke laut. Kali terakhir dia dapat dihubungi pada pukul 3.21 petang, Isnin lalu,” katanya.

Selain tiga sahabat baik itu, mangsa lain yang turut hilang ialah Mohd. Shamrin Suhaimi, 29, di samping dua beradik iaitu Mohd. Hafizrul Hisham Zakaria, 29, dan Muhammad Hazim Luqman, 19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya