SHAH ALAM: Memilukan. Itulah yang dapat digambarkan nasib seorang warga emas yang hidupnya berpindah-randah sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurut Hashim Jaafar, 76, dia yang berasal dari Kampung Kuantan, Kuala Selangor mula keluar mencari rezeki ketika usianya 45 tahun.
Katanya, dia pernah pergi ke beberapa tempat seperti Tanjong Karang dan Kuala Lumpur untuk berniaga kecil-kecilan termasuk menjual barang-barang dari Arab di Masjid Arrahman, Bangsar selama tiga tahun.
“Namun, sejak masjid tersebut diubah suai pada 2014, dia tiada tempat tinggal dan mengambil keputusan berpindah ke sebuah rumah di Seksyen 24 Shah Alam.
“Bagaimanapun saya telah berpindah ke sebuah rumah di Bukit Naga pada 2017 sebelum berpindah ke Kampung Lombong pada Julai tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Lombong semalam.
Hashim berkata, dia kini hanya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 untuk meneruskan kehidupan dan tinggal sebatang kara di rumah kecil yang ditumpangi atas ihsan pemilik tanah.
“Saya pernah tinggal di rumah kebajikan tetapi tidak bertahan lama kerana sepanjang hidup mencari duit sendiri dengan berniaga.
“Saya kini membantu pemilik tanah dengan menjalankan kerja berkebun tetapi kudrat orang tua, hanya membantu yang mampu sahaja. Namun, saya bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit serius.
“Namun, saya mengimpikan sebuah rumah kecil untuk meneruskan kehidupan dan tidak bergantung kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, pihaknya akan mengajukan masalah Hashim kepada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan segera agar impian untuk tinggal di rumah sewa yang selesa tercapai.- UTUSAN ONLINE