SHAH ALAM: Tiga beranak nyaris maut apabila kediaman dua tingkat yang mereka duduki terbakar dalam satu kejadian di Jalan Sabar 25/83, Taman Seri Muda, Seksyen 25, di sini pagi tadi.
Namun tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan mangsa, J. Thanaletchumy, 35, anaknya, M. Ruthrewaran, 6, dan bapa mentuanya, N. Krishnarajah, 74.
Sementara, suami mangsa sempat menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap bahagian dapur.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.38 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua dan terbakar 70 peratus pada tingkat bawah.
“Terdapat tiga orang mangsa terperangkap dalam rumah terbabit dan berjaya diselamatkan. Mangsa pertama merupakan wanita dibawa keluar pada pukul 4.57 pagi manakala bapa mentuanya dan anaknya kira-kira 10 dan 20 minit kemudian.
“Wanita terbabit bersama bapa mentuanya ditemukan di tingkat bawah manakala anaknya pula di dalam bilik tidur di tingkat atas,” katanya di sini.
Jelasnya, turut musnah dalam kejadian itu ialah empat buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Perodua Kembara, Proton Waja dan motosikal jenis Honda RS 150 terbakar sepenuhnya.
“Ketiga-tiga mangsa hanya mengalami sesak nafas telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk untuk rawatan lanjut.
“Api berjaya dikawal pada pukul 5.24 pagi dan tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudian,” katanya.