ALOR SETAR: Impian pasangan suami isteri dari Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut di sini untuk melihat tiga anaknya memiliki sijil kelahiran sekali gus membolehkan mereka meneruskan sesi persekolahan akhirnya menjadi kenyataan selepas menerimanya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.
Menurut Rohariza Che Lah, 42, berkata, sebelum ini kehidupan mereka yang susah menyebabkan dia dan suaminya Hisham Zainol, 40, gagal mendaftar untuk mendapatkan sijil kelahiran tiga orang anaknya yang bernama Nur Syaliza,13, Mohammad Shazrul Danish, 10, dan Nur Eliani, 7,
Katanya, suaminya tidak sihat sejak beberapa tahun lalu dan kami juga tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anak-anak membuat sijil kelahiran.
“Bila mereka tidak ada sijil kelahiran, saya risau dan tidak senang duduk memikirkan nasib anak-anak yang sedang membesar ini.
“Apabila ada sijil kelahiran, saya gembira dan bersyukur kerana mereka boleh pergi ke sekolah serta tidak lagi tercicir dalam pelajaran. Saya harap mereka dapat bersekolah dengan baik seperti rakan-rakan mereka yang lain.
‘Malah mereka sentiasa takut ke luar jika tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ditangkap oleh pihak berkuasa sedangkan mereka adalah warga negara,” katanya selepas menerima sijil kelahiran daripada JPN Kedah di rumah mereka di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Mohammad Shazrul Danish, 10, berkata, dia gembira selepas mendapat sijil kelahiran dan tidak sabar lagi untuk pergi belajar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa di sini.
“Sebelum ini memang ada pergi sekolah dan saya memang sudah boleh membaca. Jadi saya dan adik berumur tujuh tahun tidak sabar untuk menyuruh ayah hantar kami ke sekolah serta berjumpa dengan kawan-kawan bagi belajar bersama-sama,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah JPN Kedah, Madihah Muhammad telah menyerahkan sijil kelahiran kepada tiga anaknya itu.
Madihah berkata, permohonan sijil kelahiran bagi ketiga-tiga anak Rohariza itu telah dibuat sejak tahun lalu lagi selepas mendapat maklumat daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum pihaknya pergi ke sekolah untuk membuat siasatan.
“Anak mereka yang berumur 16 dan dua tahun sudah ada sijil kelahiran cuma mereka bertiga sahaja. Kebanyakan kes ini berlaku adalah disebabkan oleh isu perkahwinan, sosial dan kurangnya kesedaran oleh ibu bapa. – UTUSAN ONLINE