ALOR SETAR: Tindakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor membuat teguran terbuka terhadap Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli di Facebook miliknya semalam, adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, apa yang dilakukan oleh Muhammad Sanusi itu merupakan serangan terbuka terhadap Mohamad Fadzil yang juga pegawai khasnya.
Katanya, tindakan itu juga menunjukkan Muhammad Sanusi gagal mengamalkan kepimpinan ‘Qudwah Hasanah’ (tauladan yang baik) selaku seorang ketua di pejabat dan sebagai pemimpin negeri.
“Hantaran di Facebook Muhammad Sanusi yang mendakwa Mohamad Fadzil berbohong, dibuat setelah ucapan perbahasan tersebut diambil di luar konteks hingga maksud sebenarnya gagal difahami.
“Ucapan perbahasan itu sama sekali tidak mempunyai tujuan jahat atau bertujuan prejudis terhadap pentadbiran Pejabat Menteri Besar mahu pun memburukkan sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu dalam perbahasannya kelmarin, Mohamad Fadzil berkata beliau terkontang-kanting sebagai satu-satunya pegawai khas daripada UMNO di Pejabat Menteri Besar Kedah dan berdepan kutukan berhubung isu i-Sinar dan moratorium diperjuangkan Pemuda UMNO.
Berikutan itu, Muhammad Sanusi menerusi satu hantaran di Facebook miliknya mendakwa Mohamad Fadzil tidak bercakap benar hingga menimbulkan persepsi bahawa pegawa khas Menteri Besar dari UMNO seolah-olah dibuli.
Mengulas lanjut Syed Johan berkata, perkara tersebut tidak seharusnya disuarakan secara terbuka tanpa proses pendengaran keadilan terhadap individu yang menuduh dan dituduh ketika wujud saluran komunikasi
lain yang lebih berhemah.
“Isu itu bukan besar malah boleh dianggap tiada isu apa pun. Tetapi apabila Menteri Besar campur tangan,ia menjadi ledakan yang tidak perlu.
“Campur tangan itu sebenarnya tidak perlu dengan beliau sepatutnya menumpukan kepada hal ehwal pentadbiran negeri dan isu rakyat yang memerlukan tindakan segera,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE