ARAU: Bagi penghidap penyakit kencing manis kronik dengan bacaan paras gula dalam darah mencecah 30 dan ke atas tidak digalakkan makan harumanis yang mempunyai kandungan gula tinggi.
Mereka yang mempunyai bacaan paras gula dalam darah antara 18 dan ke bawah pula hanya disyorkan makan sekitar dua hiris buah berkenaan sekali makan.
Sebagai rekod, bacaan brix kemanisan mempelam harumanis boleh mencecah sehingga 25-26.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuteraan Kimia Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Noor Shazliana Aizee Abidin berkata, meskipun harumanis mempunyai kandungan gula yang tinggi, fungsi serat di dalam mempelam tersebut mampu memperlahankan pengeluaran gula buah berkenaan di dalam darah secara perlahan-lahan.
“Bagi mereka yang sudah ada kencing manis tidak sesuai makan dalam kuantiti yang banyak,sekitar dua hirisan sahaja sekali makan.
“Bagi mereka yang normal pula, sesuai ambil sebiji sekali makan kerana boleh memberi tenaga, khasiat, serat dan mineral semula jadi. Yang mengalami masalah kencing manis di tahap bacaan paras gula dalam darah sehingga 30 dan ke atas tidak digalakkan makan,” katanya.
Sementara itu, Noor Shazliana memberitahu, harumanis Perlis juga mempunyai banyak khasiat selain kaya dengan vitamin dalam buah berkenaan.
“Harumanis Perlis mengandungi khasiat seperti zat besi, selenium, I-glutathione dan beta carotene. Kajian turut mendapati harumanis Perlis diperkayakan dengan vitamin A, C, B6, B9 dan E,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya dengan kerjasama pengusaha harumanis dari koperasi Y.A menghasilkan produk hiliran berdasarkan harumanis bergred rendah seperti susu harumanis, mee, spaghetti dan pelbagai lagi produk. – UTUSAN ONLINE