KANGAR: Perbandingan polis dengan pasukan badan beruniform pengakap disifatkan tidak sesuai seolah-olah mengambarkan kelemahan sistem tadbir urus Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama seperti pasukan beruniform tersebut.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri, Azmi Abdullah berkata, kenyataan tersebut seolah-olah menghina pertubuhan yang ditubuhkan dibawah Akta Persekutuan Pengakap Malaysia berkenaan.
Katanya, terdapat perbezaan besar antara pengakap dan PDRM yang mempunyai prestij tersendiri sebagai badan penguat kuasa yang mempunyai kuasa termasuk mengawal ketenteraman awam.
“Kami adalah pasukan beruniform yang melatih dan membangunkan potensi diri setiap ahlinya serta menanamkan semangat kesukarelaan melalui modul dan silibus yang telah disediakan.
“Kami tidak ada kuasa menangkap orang, menyiasat atau apa sahaja yang dilakukan oleh polis. Kami adalah pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak secara sukarela dan tiada sebarang imbuhan malah perlu mengeluarkan duit poket untuk menjalankan aktiviti,” katanya di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, PDRM bukan pasukan badan beruniform pengakap yang sewenang-wenangnya boleh memohon pertukaran kakitangan tanpa mempunyai alasan yang munasabah.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din dilaporkan berkata, untuk tahun lalu sahaja, pihaknya menerima lebih 14,000 permohonan pertukaran, yang mana perlu melihat kira-kira 1,200 borang setiap bulan.
Menurut Ramli, daripada jumlah tersebut, pihaknya telah meluluskan 60 peratus permohonan pertukaran di seluruh termasuk Sabah dan Sarawak dengan mempertimbangkan pelbagai faktor. – UTUSAN ONLINE