PUTRAJAYA: Kerajaan tidak merancang melaksanakan kaedah pemberian suntikan vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah kerana dikhuatiri menimbulkan tanggapan mengerikan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan buat masa ini masih kekal dengan konsep sukarela.
“PICK adalah program sukarela dan saya rasa ia akan hantar mesej yang agak ‘mengerikan’ sekiranya ada orang ketuk pintu siap dengan jarum suntikan.
“Sebab itu, kita utamakan terlebih dahulu pendaftaran dari rumah ke rumah. Kalau kita hantar pemvaksin ke rumah penerima, orang takut untuk buka pintu,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK di sini hari ini.
Menurut Khairy, jika ada penerima vaksin yang sudah mendaftar dan sukar ke pusat pemberian vaksin (PPV), maka pemvaksin dihantar ke rumah mereka.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan golongan itu tidaklah ramai sebaliknya sebahagian besar penerima vaksin fasa dua dapat ke PPV bagi menerima suntikan.
Justeru, katanya, orang ramai disediakan saluran tertentu untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin, sebelum diberikan janji temu bagi mendapatkan suntikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya belum menerima keputusan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung ketetapan keperluan untuk diberikan vaksin kepada bakal jemaah haji tahun ini.
Menurutnya, sebaik sahaja mendapat ketetapan rasmi itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Tabung Haji bagi memberi suntikan vaksin kepada bakal jemaah haji Malaysia yang terpilih menunaikan ibadah iu.
Berhubung kebenaran kepada hospital swasta bagi pembelian vaksin pula, beliau menggalakkan rundingan pembelian vaksin oleh hospital swasta, namun penghantaran paling awal bagi pasaran swasta adalah pada suku ketiga dan keempat tahun ini. – UTUSAN ONLINE