Tidak dapat diekstradisi ke Malaysia - Utusan Malaysia

Tidak dapat diekstradisi ke Malaysia

SEORANG anggota PGA menunjukan lokasi kejadian tembakan anggota pasukan tersebut iaitu kira 600 meter dari Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis November tahun lalu. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis negeri mendedahkan mereka mempunyai bukti kukuh tiga suspek utama warga Thailand terlibat dengan pembunuhan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kes berbalas tembakan dengan penyeludup dalam kejadian di kawasan berhampiran Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, November tahun lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek tersebut tidak dapat diekstradisi ke negara ini untuk ditangkap serta didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Thailand, jadi negara jiran itu tidak menyerahkan mereka ke sini.

Surina berkata, pihaknya telah memasukkan data mereka ke dalam nama orang yang dikehendaki dan akan ditangkap serta dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Data mereka semua kita sudah ada, masuk jalan betul pun kita sudah ada senarai red alert, kalau masuk jalan tikus pun kita akan tangkap. Kita perlu bersabar, bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pada masa ini, dua warga Thailand dan seorang tempatan berkaitan kes sama telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan dipenjara selama dua tahun.

“Dua warga Thailand tersebut kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas Bentong, Pahang manakala warga tempatan itu berada di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor,” ujarnya.

Pada 24 November tahun lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.

Rentetan itu, polis giat memburu suspek bagi membantu siasatan kes terbabit dengan jumlah keseluruhan yang ditahan sebelum ini adalah seramai 52 suspek termasuk empat warga Thailand.

Mengenai pergerakan aktiviti penyeludupan ketum di sempadan negara, beliau berkata, kebanyakan rampasan ketika ini beralih ke jalan laut.

“Oleh itu, banyak rampasan dibuat di Kuala Perlis berbanding Padang Besar yang agak berkurangan.

“Disebabkan penggunaan ketum sudah dibenarkan oleh kerajaan Thailand, maka permintaan di sana semakin meningkat untuk pasaran negara itu,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya