Tidak akan ada kerjasama dengan PKR, DAP - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Tidak akan ada kerjasama dengan PKR, DAP – Abdul Hadi

abdul hadi
ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerjasama yang pernah terjalin antara Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semasa dalam blok Pakatan Rakyat tidak akan berulang pada masa hadapan.

Jaminan itu diberikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali gus menyifatkan pengalaman berada dalam kelompok tersebut sudah cukup untuk membuka mata mereka agar tidak mengulangi langkah sama.

Katanya, perjuangan Pas adalah untuk rakyat dan negara justeru, parti itu tidak akan sesekali bekerjasama rakan sekutu yang hanya mahu menyelamatkan individu atau kumpulan.

“PKR dan DAP kita sudah ada pengalaman sejak tahun 1998/1999, cukuplah biar dia lemas.

“Kita dalam keadaan selamat dan semakin hari semakin kuat menerusi kerjasama baru kita dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO termasuk gabungan-gabungan lain di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sedia menjalinkan kerjasama dengan UMNO yang disokong beberapa pemimpinnya, walaupun perbincangan mengenai isu itu belum pun dibuat secara formal.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi memberi bayangan terdapat dua individu yang terkena umpannya berhubung penulisan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes jenayah luar tabii, baru-baru ini.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian masing-masing.

“Nampak yang timbul dua ekor tetapi satu sudah menyelam balik. Orang ramai dapat menilai siapa yang timbul dan siapa yang menyelam balik,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata penulisannya berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan telah mengena umpan apabila berjaya mendedahkan pihak-pihak tertentu yang sebenarnya merupakan penyokong jenayah luar tabii termasuk golongan tokoh-tokoh liberal, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya